Isnin, 10 Februari 2014

Aku harap...

Apabila melihatkan keadaannya ketika ini aku sangat berharap agar dia dapat gunakan segala kekuatan yang ada utk berehat. Dengan rehat itu dia boleh gandakan saki baki kekuatan yang tinggal.

Aku harap dia boleh gagah seperti dulu. Tidak perlu jadi badang. Cukuplah agar dia mampu jalan2 ke kedai kopi setiap pagi dan pergi masjid untuk berjemaah solat 5 waktu.

Aku harap dia boleh teman aku makan di dapur setiap kali aku balik. Aku ingin masak spaghetti daging yang dia suka dan kami makan sama2. Aku ingin dengar dia cerita pasal harga sawit dan pokok getah. Cerita tentang babi hutan makan anak pokok kelapa.

Aku harap dia boleh buat senduk tempurung lagi. Isi masa lapang dan aku boleh tolong beli senduk dia. Tidak mengapa senduk senget benget, yang penting hati dia gembira. Katanya yang kecil RM5, yang besar RM10.

Aku harap dia boleh jalan masuk hutan cari akar kayu macam dulu. Dia boleh pakai kasut but kulit yang aku belikan dengan seluar camel gaya macam Indiana Jones. Aku tak kisah dia nak berkebun dengan kemeja mahal macam dia selalu buat. Lepas ni bila dia sihat, aku tak kisah kalau dia pergi kebun pakai kemeja Armani. Pakailah...yang penting dia gembira.

Aku harap apa pun jalannya selepas ini aku boleh terima dengan redha. Aku tahu, dia tahu aku sangat sayangkan dia. Aku tahu, dia tahu aku sangat bangga dengannya.

Setiap dari kita punyai jalan yang berbeza di dunia ini. Allah telah menetapkan panjang atau pendek jalan itu. Jalan aku juga belum tahu panjang pendeknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan