Khamis, 24 Mac 2011

Membaca.

Saya sangat suka membaca. Apa pun boleh jadi bahan saya membaca. Masa kecil dulu, kalau mak suruh mengemas. Saya akan ambil masa untuk baca kertas yang sepatutnya di buang. Natijahnya... kena marah dengan mak.

Arwah ayah tahu saya suka membaca lalu di belikan saya majalah Readers Digest. Dalam keghairahan ayah membelikan saya pelbagai bahan bacaan yang berkualiti dia terlupa satu perkara. Saya masih seorang budak. Maka Majalah Readers Digest itu tidak pernah saya habis baca. Malah saya gunting majalah itu untuk dapatkan gambar-gambar yang saya suka.

Tidak putus asa dengan kerenah saya, lalu ayah langgankan pula akhbar New Straits Times untuk saya dan adik.  Maka kami akan disuruh secara bergilir untuk memilih sebarang artikel untuk diterjemah  ke Bahasa Melayu. Adik saya suka curi tulang. Ada saja alasannya untuk tidak menyiapkan tugasan yang di beri. Bagi saya kerja penterjemahan ini mudah sahaja. Saya cuma perlu selak bahagian Obituary dan terjemah sajak-sajak indah yang dikarang di bahagian itu. Ayah tidak pernah membantah cara saya itu malah membiarkan saya dengan kegiatan menterjemah ruangan Obituary selama beberapa lama.

Lama kelamaan saya mula berminat untuk baca novel. Ayah hadiahkan saya satu set Novel bahasa Inggeris semasa umur saya 10 tahun. Novel tersebut masih saya simpan dengan baik. Ayah juga hadiahkan saya 2 buah lagi novel bahasa Inggeris bertajuk As I was passing vol 1 and 2. Pada mulanya saya selalu merujuk judul novel tersebut sebagai ASI WAS PASSING. Malah saya turut bertanya pada ayah siapa budak yang bernama ASI itu. Ayah tidak pernah marah malah ayah kata kalau nak kenal ASI mesti baca novel tu.

Setelah beberapa tahun ayah saya meninggal barulah saya tergerak untuk selak lembaran novel yang jadi kenangan saya itu. Barulah saya tahu., tiada siapa yg bernama ASI dalam novel tersebut. Hanya kejahilan saya dan ketidak prihatinan saya yang mengkaburi pandangan mata sebenarnya. Alangkah sedihnya hati saya kerana tidak berpeluang bercerita dengan ayah tentang ASI.

Meskipun di dedahkan dengan Bahasa Inggeris sejak usia muda namun saya jatuh cinta pada bahasa Melayu. Ada sesuatu tentang Bahasa Melayu yang buat saya terpaut. Susun atur kata-katanya dan laras bahasanya benar-benar memikat hati saya. Benarlah bahasa jiwa bangsa. Sungguh saya tidak malu mengakui bahawa saya berjiwa Melayu.

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan